Hapuskan air matamu… negara bergantung pada kita – Dr Noor Hisham

0
2

Nurul Huda Abhar

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi kata-kata semangat kepada petugas barisan hadapan agar terus cekal menghadapi gelombang peningkatan kes Covid-19 yang meningkat.

Menurut beliau, petugas barisan hadapan perlu mempunyai semangat jitu untuk membendung Covid-19 kerana rakyat bergantung harap kepada mereka.

“Untuk semua barisan hadapan, kita mempunyai ‘pertempuran’ besar di hadapan kita.

“Negara bergantung pada kita walaupun banyak malam tanpa tidur dan keletihan kronik, hapuskan air mata kalian, dongakkan dagu, pandang ke depan, mari ratakan lekuk lagi,” tulisnya di Facebook malam tadi.

Rata-rata pengikutnya di Instagram yang juga ahli keluarga kepada barisan hadapan turut menyatakan kerisauan jika gelombang ketiga wabak ini berlaku.

“Terkenang anakandaku yang bakal menempuh kembali situasi ini sebagai frontliners di Hospital Sungai Buloh. Tabahlah. Insya-Allah, besar ganjarannya dari yang Maha Esa. Semoga sentiasa tabah serta di dalam peliharaan Allah SWT,” tulis Haslina Abu Samah.

Mereka juga memberi kata-kata dorongan dan mengucapakan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus sepanjang wabak Covid-19 melanda negara.

“Terima kasih atas perjuangan semua fronliner. Kuatkan semangat juang anda semua, semoga Allah sentiasa merahmati anda semua. Stay strong,” tulis Nor Khamariah Sharif.

Hantaran Dr Noor Hisham semalam mendapat 51 ribu tanda suka dan dikongsi lebih 5,000 serta mendapat komen 2,000 pengikutnya.

Semalam, jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 adalah 317 kes dan keseluruhannya penularan tempatan.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan semalam berkata, bagi mengawal penularan Covid-19 di Sabah, KKM telah menggerakkan pasukan bantuan tambahan dan kelengkapan perubatan sejak dari awal sebagai persediaan mengikut keperluan semasa di Sabah. – Malaysiapost