Azalina gembira RUU Antilompat parti ‘keep on track’ hapuskan katak

0
2

DRAF berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti selesai diperincikan dan akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat seterusnya, kata Ahli Parlimen Pengerang.

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang dianggotainya bermesyuarat kali terakhir mengenai RUU tersebut semalam.

Menurutnya, ia telah dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Azalina yang juga Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri berkata, RUU tersebut adalah satu lagi langkah untuk menghapuskan budaya ‘katak politik’, serta memastikan politik Malaysia lebih bermaruah.

“Saya dengan sukacita ingin memaklumkan PSSC selesai bermesyuarat mengenai Akta Antilompat Parti hari ini (semalam) dan kami akan menghantar RUU tersebut kepada Parlimen untuk dibentangkan.

“Ini satu lagi langkah untuk menghapuskan koloni katak dan menuju ke arah politik lebih bermaruah di Malaysia,” kata Azalina menerusi ciapan di Twitter.

Pada 7 Julai lalu, Wan Junaidi memaklumkan draf RUU itu akan dicetak selepas mendapat persetujuan Kabinet, yang akan bermesyuarat hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau berhasrat meletakkan RUU tersebut pada meja setiap Ahli Parlimen pada hari pertama sesi Dewan Rakyat seterusnya, iaitu pada 18 Julai.

Menurutnya, draf RUU tersebut tidak perlu dibentang untuk bacaan kali pertama, kerana proses tersebut telah dilakukan dalam sesi khas Dewan Rakyat pada 11 April lalu.

Sebelum ini, media melaporkan antara cadangan yang terkandung dalam RUU itu ialah ia akan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar dari parti yang mereka tandingi semasa pilihan raya, menyertai parti lain, atau menjadi Ahli Parlimen Bebas.

RUU tersebut, jika dipersetujui, tidak akan meliputi Ahli Parlimen yang dipecat oleh kepimpinan parti atau parti yang keluar dari sesebuah gabungan politik, seperti mana terjadi menerusi Langkah Sheraton pada 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here