Malaysia-China tingkatkan kerjasama dua hala – Ismail Sabri

0
2

KERAJAAN China akan memberikan keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia, terutamanya bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi kedua-dua negara pada hari ini, seperti inflasi global dan keselamatan makanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China, Wang Yi yang juga Penasihat Negara berkenaan.

Menurutnya, kunjungan Wang Yi ke Malaysia juga merupakan langkah positif ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-China.

“Kami berbincang dalam suasana mesra selama satu jam, mengenai hubungan dua hala serta kepentingan dalam membangunkan ekonomi digital,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Wan Yi turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas peluang yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara.

“Antaranya pelaksanaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang mana pihak China berhasrat untuk meneruskan kesinambungan jaringan landasan keretapi yang turut melibatkan Laos dan Thailand,” katanya.

Beliau turut menyuarakan bahawa China perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dunia dikekalkan.

“Saya menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan.

“Saya turut menyampaikan ucap selamat kepada Presiden Xi Jinping dan Premier Li Keqiang,” katanya.

Perdana Menteri turut menyampaikan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China dalam masa terdekat dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan Premier Li.

Dalam masa sama, menurutnya kerajaan juga mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif kerajaan Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here