HANYA sebab kemaruk jawatan Timbalan Perdana Menteri, Bersatu sanggup sindir rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) mereka secara terbuka, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang dilapor meminta Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepada Setiausaha Agung PAS mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Apa pentingnya sangat jawatan TPM, menteri dan lain-lain memandangkan PRU akan dilaksanakan tak lama lagi?,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.
Kenyataan Muhyiddin itu semalam hadir selepas Presiden PAS baru-baru ini menyatakan tiada perjanjian bagi lantikan Timbalan Perdana Menteri antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Bersatu.
Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ialah individu yang menggubal draf perjanjian itu.
Selain itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa. – Malaysiapost

