Saya cadangkan lepas ni Datuk pakai selipar saja – TMJ

0
2

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim menasihati Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak melayan cakap-cakap daripada pihak tertentu, sebalik fokus terhadap tugasnya untuk membangunkan Johor.

Nasihat itu diberikan Tunku Mahkota Johor susulan kenyataan Onn Hafiz yang memaklumkan kasut mahal dipakainya adalah kurniaan Sultan Ibrahim Iskandar.

“Benda mcm ni pun jadi isu? Dato saya cadangkan lepas ni Dato pakai selipar aja.

“Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Dato dan beberapa pegawai kerajaan.

“Dato, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja,” ciap Tunku Ismail di Twitter.

Terdahulu semalam Onn Hafiz menyifatkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa beliau berbelanja mewah mengenakan sepasang kasut berharga RM40,000 sebagai fitnah.

Sebaliknya beliau menjelaskan, kasut yang dipakainya adalah kurniaan Sultan Johor, bukan hanya kepadanya, malah barisan Exco terdahulu.

“Fitnah dan tohmahan perlu dihentikan. Untuk rekod, ini adalah kurniaan Kebawah Duli Tuanku Sultan.

“Ini bukan perkara baru, malah Kebawah Duli Tuanku ada juga memberi kurniaan kepada barisan exco kerajaan yang lepas dan kepada pegawai kerajaan negeri sebagai motivasi untuk sentiasa bekerja keras untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Onn Hafiz turut berkongsi tangkap layar laporan akhbar Cina berkenaan dengan tertera tulisan RM40,000?

Pada masa sama, akhbar tersebut berkongsi gambar Onn Hafiz memakai baju Melayu bersama kasut yang didakwa berharga puluhan ribu ringgit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here