PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepada Setiausaha Agung PAS, mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Kenyataan Muhyiddin itu hadir selepas Presiden PAS tersebut baru-baru ini menyatakan tiada perjanjian bagi lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Bersatu.
Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ialah individu yang menggubal draf perjanjian itu.
Selain itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
“Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri, disaksikan oleh Annuar Musa dan saya bagi PN disaksikan oleh Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir.
“Jadi, mungkin Tok Guru (Abdul Hadi) boleh memeriksa kembali dengan Takiyuddin. Beliau sendiri yang sebenarnya adalah draftman kepada perjanjian itu. Itu kenyataan yang sebenarnyalah.
“Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN. Bukan atas nama parti sahaja,” katanya memetik Berita Harian Online.
Muhyiddin berkata, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, kandungan perjanjian itu antara lain menyentuh jumlah jawatan dalam jemaah menteri, khususnya kuota parti.
“Itu sebahagian daripada perjanjian dan sebab itu apabila (Datuk) Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar Bersatu, maka wajarlah kuota itu diisi ahli Parlimen Bersatu.
“Jadi, kita tidak tuntut lebih. Yang kita kemukakan kepada Perdana Menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.
Jumaat lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata tiada sebarang perjanjian berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Ismail Sabri dan PN.
Sebaliknya Abdul Hadi berkata sejak awal penubuhan kerajaan sedia ada, tiada persetujuan serta sebarang keputusan dibuat berhubung pelantikan jawatan tersebut.
“Kita masih lagi berpegang pada awal-awal penubuhan kerajaan tak ada Timbalan Perdana Menteri. perbincangan ada tetapi tidak ada keputusan kerana kita masih sibuk dengan urusan-urusan rakyat
“Tak ada janji mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri (seperti didakwa Bersatu). Kita bincang tapi tidak ada keputusan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, PAS berpendirian jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak perlu kerana apa yang penting adalah usaha menyelesaikan masalah rakyat. – Malaysiapost

