Kerajaan perlu gubal akta khusus tangani kesalahan hina Islam – pendakwah

0
3
Ahmad Husam Baderudin Presiden Penyatuan Ummah Malaysia

KERAJAAN perlu menggubal satu akta khusus bagi perbuatan menghina agama Islam selain menguatkuasakan undang-undang lebih berat kepada individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwah bebas, Ahmad Husam Baderudin, berkata isu menghina Islam melalui video tular seorang wanita yang mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan tudung dan pakaiannya, seolah-olah sengaja menyalakan api kemarahan umat Islam.

“Episod ini berulang-ulang sekian lama cuma pelakon dan jalan cerita sahaja bertukar. Kenapa isu seperti ini makin menjadi? Kali ini yang sangat menyedihkan ialah pelakon utama itu pula ialah ‘orang Islam’ sendiri.

“Bagaimana kita boleh biarkan episod yang akan datang terus bebas bersiar sedangkan Islam adalah agama bagi Persekutan dalam erti kata lain agama negara kita,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahmad Husam berkata, perbuatan sengaja menghina Islam secara terang-terangan perlu ditamatkan segera, kerana dibimbangi akan mencetuskan kemarahan yang tidak boleh dikawal oleh rakyat.

“Jangan membiarkan perkara ini terus bebas lagi tanpa tindakan tegas agensi penguatkuasa kerana dikhuatiri sel-sel senyap (silence cel) mengambil tindakan bersifat radikal seperti mana berlaku di Pakistan, apabila seorang lelaki ditembak mati kerana menghina islam.

“Marilah kita menadah tangan kepada Allah SWT agar penghina-penghina ini dibalas oleh Allah SWT dengan sebaik pembalasan di dunia dan akhirat,” katanya.

Terdahulu, tular klip video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di sebuah kafe komedi di Taman Tun Dr Ismail, selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

Wanita berusia 28 tahun tersebut dilaporkan telah direman selama tiga hari bermula semalam hingga 12 Julai bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here