HARIMAU Malaya bawah 19 (B-19) tahun tercungap sebelum berjaya menang tipis ke atas Timor Leste 4-3 sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan B-19 AFF di Stadium Madya, Senayan, Jakarta, sebentar tadi.
Anak buah Hassan Sazali Waras hanya memerlukan sembilan minit untuk berada di depan hasil penyudah Najmudin Akmal Kamal Akmal.
Bagaimanapun Timor Leste hanya mengambil masa dua minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Cristevao Moniz Fernandes.
Adam Farhan Faizal meletakkan sekali lagi Malaysia mendahului menerusi jaringan gol pada minit ke-15.
Aliff Izwan Yuslan berjaya melebarkan kedudukan menjadi 3-1 apabila meledak gol pada minit ke-53, namun dua minit kemudian Timor Leste merapatkan kedudukan menerusi Mario Donasio Quintao.
Malaysia terus mengasak dan Adam Farhan sekali lagi menjarakkan kedudukan buat skuad negara dengan meledak gol keempat pada minit ke-62.
Bagaimanapun Quintao berjaya menyumbang gol ketiga Timor Leste pada minit ke-76 sekali gus menjadikan kedudukan Malaysia mendahului 4-3.
Kebangkitan Timor Leste tidak kesampaian apabila kedudukan itu kekal hingga wisel penamat dan menyaksikan Harimau Malaya akhirnya berjaya membaham lawan meski pun dalam keadaan tercungap.

Malaysia yang menghuni tangga kedua dengan mengumpul tujuh mata, dua mata di belakang pendahulu Kumpulan B, Laos.
Malaysia akan muncul juara kumpulan jika berjaya menewaskan Laos dalam perhitungan terakhir, Isnin ini. -Malaysiapost
Foto kredit Football Association Malaysia Facebook

