PENGARAH Syamsul Yusof meluahkan rasa syukur apabila filem arahannya, ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ sudah mencecah kutipan RM61 juta sepanjang 17 hari tayangan.
Bagaimanapun, anak kepada pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam itu masih menaruh harapan buah tangan terbaharunya itu mampu mencapai kutipan mencecah RM70 juta.
“Filem Mat Kilau ini memiliki momentum yang berbeza berbanding filem Melayu lain kerana naskhah ini menunjukkan peningkatan pada setiap hari tayangan.
“Pada saya insyaAllah dengan izin Allah, filem ini akan sampai RM70 juta. Saya fikir ia akan sampai ke tahap itu,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram, hari ini.
‘Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ telah mencetuskan fenomena industri perfileman tanah air sekali gus membuktikan anak tempatan mampu mencipta filem yang berdaya saing dengan filem antarabangsa.
Meskipun bangga dengan pencapaiannya, namun Syamsul tidak meletakkan sasaran filem tersebut mampu memperoleh kutipan RM100 juta.
“Sejujurnya sebagai pengarah saya tidak berani untuk meletakkan harapan terlalu tinggi walaupun ramai yang mengatakan ia bukan satu perkara mustahil.
“Biarpun ramai orang bercakap begitu, tetapi saya masih tidak berani untuk meletakkan sebarang harapan hingga ke tahap itu,” katanya.
Syamsul berkata, dia amat bersyukur kerana kemunculan filem tersebut dapat menyemarakkan semangat nasionalisma sekali gus mengingatkan kita tentang Melayu.
“Pihak pendidikan di sekolah, pelajar, universiti dan golongan pendidik pengajian tinggi banyak memperkatakan tentang hal ini pada saya ia sudah cukup.
“Perkara ini sudah mencapai matlamat pembikinan filem dan menjadi kejayaan buat pasukan saya dan penerbit,” katanya.
Sementara itu, media melaporkan Abdul Rahman Mat Dali yang bertindak selaku penerbit Studio Kembara akan memberikan ‘bonus’ kepada barisan kru dan pelakon filem tersebut. -Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram @bahasa_hanief

