Perubahan iklim ibarat bom jangka, jangan abaikan – Zuraida

0
2
zuraida

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mengibaratkan perubahan iklim seperti ‘bom jangka’ yang tidak boleh diabaikan dan tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, cuaca hujan dan panas yang tidak teratur juga boleh menjejaskan pembangunan ekonomi yang mungkin memudaratkan negara seperti Malaysia.

Justeru, beliau menegaskan, tanggungjawab menangani isu perubahan iklim bukan terletak pada bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat kerana kesannya boleh menjejaskan semua pihak.

“Sebanyak 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah daripada sektor pertanian yang merangkumi getah, koko, beras dan minyak sawit. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah beri amaran perubahan iklim akan cetus malapetaka jika tidak ditangani lebih awal.

“Penyelidik dari universiti tempatan juga menyenaraikan risiko akibat perubahan iklim ke atas negara, termasuk pengurangan hasil tanaman, penyakit yang lebih meluas dalam kalangan spesies hutan, kehilangan biodiversiti, peningkatan kejadian banjir dan pengurangan ketersediaan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata, selama bertahun-tahun penyelidik sudah memberi amaran kesan buruk perubahan iklim terhadap kehidupan manusia, namun amaran yang disuarakan kebanyakannya tidak diambil serius.

“Ramai yang tidak menyedari atau enggan mengakui betapa bahayanya fenomena berkenaan walaupun petanda jelas sudah berulang kali melanda seperti banjir besar yang menggemparkan negara dan turut menyaksikan kehilangan nyawa.

“Yang jelas, banjir besar pastinya akan menyebabkan kemusnahan dan kerosakan harta benda dan dalam keadaan yang tidak dijangka, manusia juga boleh menjadi korbannnya,” katanya.

Zuraida menegaskan, perubahan iklim bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga baru-baru ini mengumumkan penggubalan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) bagi menangani isu itu.

Jelasnya, MyNAP merangkumi tindakan dan strategi jangka panjang bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

“Antara pelan tindakan lain seperti diumumkan Perdana Menteri adalah menggalakkan kerajaan negeri mengguna pakai Indeks MyNAP bagi meningkatkan tindak balas yang lebih berkesan dalam menangani perubahan iklim.

“Dalam hal ini, setiap daripada kita mesti sedar bahawa perubahan iklim bukanlah sesuatu yang menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ia sebahagian daripada kehidupan seharian setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Zuraida menambah, pemuliharaan alam sekitar adalah perkara yang mendesak dan semua pihak, termasuk ahli politik mesti mengambil iktibar serta menjadikannya topik utama dalam semua kempen pilihan raya.

“Seluruh lapisan rakyat perlu sama-sama membantu kerajaan memperjuangkan kepentingan alam sekitar. Peranan lebih penting tentunya terletak di bahu golongan belia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here