JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menjalankan siasatan terhadap video tular yang menghina kesucian Islam dipercayai dilakukan di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung video tular berkenaan dan siasatan awal sudah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI.
“Jika sabit kesalahan, tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“Denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, JAWI tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya di Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang Aidiladha, esok.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.
Video yang tular di aplikasi TikTok itu didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.
Menerusi video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit muncul atas pentas dengan imej wanita muslim iaitu memakai baju kurung lengkap bertudung.
Dia kemudian memperkenalkan dirinya serta mengakui sebagai seorang muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum berhenti berucap seketika bagi menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung. – Malaysiapost

