Isu penipuan umrah, haji di bawah Kementerian Pelancongan – Idris 

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menjelaskan bahawa isu berkaitan penipuan umrah dan haji ada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan memberi kerjasama serta membantu mereka yang dizalimi dengan menyalurkan kepada pihak yang sepatutnya untuk mengambil tindakan. 

“Isu penipuan umrah dan haji, ia di bawah Kementerian Pelancongan. Namun, InsyaAllah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama tetap bekerjasama untuk membantu mereka yang dizalimi.

“(Mereka akan) disalurkan kepada pihak yang sepatutnya untuk mengambil tindakan. Harap maklum,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi membidas Idris kerana didakwa tidak turun padang bertemu hampir 400 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Mohd Puad, berkata Idris sepatutnya lebih proaktif menyelesaikan masalah dihadapi jemaah berkenaan dan bukan sekadar mengambil maklum semata-mata. 

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan peranan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai wakil khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, yang dilihat tidak membantu menyelesaikan isu tersebut. 

Terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here