Agong zahir penghargaan semua pihak terlibat bantu mangsa banjir di Baling

0
3
YDPA Foto Krdit: Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Baling pada Isnin lalu yang meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tiga mangsa terbabit dan berharap bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan penduduk yang terjejas khususnya mereka yang kehilangan kediaman tabah dan sabar menghadapi dugaan yang berat ini. Seri Paduka menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” menurut kenyataan Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengambil maklum masjid-masjid di seluruh negeri Pahang melaksanakan kutipan pada solat Jumaat semalam untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang terjejas di Baling.

“Al-Sultan Abdullah menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana itu.

“Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah,” katanya.

Dalam kejadian kepala air Isnin lalu, sebanyak 12 kampung di Baling terjejas dan ditenggelami arus deras berikutan hujan lebat hampir tiga jam bermula jam 2 petang.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun, termasuk seorang wanita hamil, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here