ORANG ramai diingatkan lebih berwaspada mengenai kemungkinan gelombang keempat Covid-19 melanda negara tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia susulan pengesanan kehadiran subvarian Omicron BA.5 di Malaysia dan kes harian dijangka bertambah.
Sehubungan itu, Khairy meminta orang ramai yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak untuk segera berbuat demikian.
“Setakat ini seramai 68.6 peratus individu sudah mendapatkan dos penggalak pertama vaksin Covid-19.
“Setakat ini, sejumlah 31.4 peratus golongan dewasa masih belum mengambil dos penggalak,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy berkata, dos penggalak sangat berkesan untuk mengurangkan kes-kes jangkitan dan gejala teruk Covid-19.
Semalam kes jangkitan baharu Covid-19 melepasi angka 4,000 apabila sebanyak 4,020 kes direkodkan setakat tengah malam tadi. – Malaysiapost

