POLIS telah menerima beberapa laporan daripada bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, setakat ini pihaknya menerima 17 laporan dan difahamkan masih ada laporan polis akan dibuat oleh mangsa lain yang terkandas.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA ada menerima beberapa laporan berhubung kejadian itu namun tidak semua membuat laporan di sini, ada juga mangsa membuat laporan di tempat tinggal mereka seperti di Kajang, Semenyih, Bangi dan lain-lain.
“Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada seorang wakil syarikat pelancongan yang terlibat namun tiada tangkapan dibuat dan individu tersebut telah dibenarkan pulang selepas selesai proses mendapatkan keterangan,” katanya memetik laporan Kosmo!
Imran berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 200 atau lebih mangsa kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Siasatan berhubung kejadian dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” tegas beliau.
Terdahulu media melaporkan hasrat lebih 380 jemaah haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci tidak kesampaian apabila mereka terkandas di KLIA malam tadi berikutan dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. – Malaysiapost

