Tapak penempatan baru mangsa banjir Baling dikenalpasti

0
2

KERAJAAN negeri Kedah sudah mempunyai tapak cadangan untuk menempatkan mangsa bencana banjir kepala air di Baling, yang kehilangan rumah dan tapak rumah pada Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tapak cadangan itu adalah di Kampung Keda Sadik.

“Perbincangan kaedah pelaksanaan sedang diadakan dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, beliau dalam sidang media pada Rabu lalu memaklumkan kerajaan negeri bersetuju untuk membayarkan sewa rumah mangsa banjir di Baling yang kehilangan penempatan selama enam bulan.

Menurutnya, jumlah penempatan yang musnah yang dimaklumkan kepadanya adalah sebanyak 15 buah rumah musnah, 14 buah rumah rosak teruk dan rumah yang mengalami kerosakan kecil sedang dikenal pasti.

Jelasnya, kebanyakan rumah-rumah yang hanyut dalam bencana itu didirikan atas tanah rizab sungai dan bukan tanah hak milik.

“Kalau mereka ada tanah di tempat lain proses membuat rumah baru akan lebih cepat, kita akan usahakan proses dipercepatkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here