Kepimpinan Umno ketika ini bukan ‘caretaker’ – Ahmad Maslan

0
2

DAKWAAN mengatakan kepimpinan Umno tidak boleh membuat keputusan dasar kerana berstatus ‘caretaker’ atau ‘penjaga’ susulan penangguhan pemilihan parti berkenaan adalah salah, tegas Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, dalam Perlembagaan Umno Fasal 10.16 membolehkan penangguhan pemilihan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Bahagian dan Cawangan.

Beliau berkata, penangguhan itu bagaimanapun tidak boleh lebih daripada lapan belas bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

“MKT telah pun membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan. Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, (ROS) pada 30 Ogos 2021. Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Disember 2022.

“Ketika pelanjutan tempoh itu, tiada istilah ‘caretaker’ dalam Perlembagaan Umno. Dalam pertemuan saya dengan ROS, mereka mengesahkan penjawat jawatan Umno sekarang bukan berstatus caretaker,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, oleh itu Umno berhak membuat apa jua keputusan bagi kepentingan parti dan ia termaktub dalam Perlembagaan Umno.

“Jumlah penjawat jawatan Umno selain 56 orang Ahli MKT, terdapat Exco Wanita, Pemuda dan Puteri juga jawatan di peringkat 191 Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta terdapat sejumlah yang ramai di 21,156 Cawangan dan puluhan ribu lagi Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan.

“Ketika pelanjutan tempoh ini, Umno telah antara lain memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021, terlibat di PRN Johor pada 12 Mac 2022, mengadakan Perhimpunan Agung Umno pada 16 hingga 19 Mac 2021 dan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei 2022.

“Semuanya adalah sah daripada segi Perlembagaan Umno itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, berhubung pindaan Perlembagaan Umno pula, Ahmad memaklumkan masih menunggu kelulusan daripada ROS.

“Segala dokumen tambahan telah diberi. Tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang ROS perlukan. Ini saya tanyakan sendiri kepada mereka. Adalah diyakini Umno telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.

“Pindaan kepada Fasal 10.16 Perlembagaan Umno yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung Khas Umno juga adalah teratur mengikut Fasal 30 Perlembagaan Umno,” katanya.

Beliau berharap tiada halangan untuk ROS meluluskan pindaan itu sepertimana kelulusan diberikan kepada MCA berkenaan pindaan perlembagaannya yang membawa maksud sama dengan pindaan Perlembagaan Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here