Shuib tidak ditahan, direman – Peguam

0
2

PELAWAK dan usahawan, Shuib yang juga penyampai radio tidak menerima sebarang arahan reman berikutan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram.

Peguamnya, Muhammad Fadhli M. Sutris dalam kenyataan berkata, sebarang maklumat mengenai anak guamnya tidak dapat didedahkan sebagai menghormati prosedur undang-undang.

“Ingin kami sahkan di sini, anakguam kami tidak pernah ditahan reman oleh SPRM mahupun terdapat sebarang permohonan reman dibuat ke atasnya, memandangkan kehadiran beliau di pejabat SPRM hanyalah untuk memberi keterangan sahaja.

“Anakguam kami telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang keterangan diambil. Untuk makluman, rakaman keterangan beliau telah diambil dan selesai pada hari yang sama.

“Beliau kemudiannya dibenarkan pulang setelah selesai proses tersebut, manakala kehadiran Siti Sarah Raisuddin hanya untuk menemani suaminya saja,” katanya hari ini.

Muhammad Fadhli berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat berkaitan kegiatan penggubahan wang haram seperti yang dilaporkan media.

“Tiada tangkapan mahupun permohonan reman seperti dilaporkan beberapa media sebelum ini dan semua kenyataan itu tidak benar sama sekali.

“Ingin kami tekankan sekali lagi, kehadiran anakguam kami hanyalah untuk membantu proses siasatan SPRM sahaja dan anakguam kami telah memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung pasangan suami isteri itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram, Khamis lalu.

Turut dipanggil, beberapa artis yang namanya tidak dinyatakan bagi membantu siasatan kes itu. – Malaysiapost