Ibu bapa berang bayi 10 bulan di pusat jagaan ada 8 kesan gigitan

0
2

IBU bapa kepada seorang bayi berusia 10 bulan meluahkan rasa tidak puas hati dengan pengurusan sebuah taska di Puncak Alam yang didakwa mengabaikan keselamatan anak mereka sehingga mengalami kecederaan.

Perkara itu diluahkan melalui satu perkongsian di laman Facebook oleh Bakti Zakaria yang mendakwa terdapat lapan kesan gigitan di tangan, pipi selain terdapat kesan jatuh dan luka pada telinga anaknya.

Dalam hantaran yang dibuat pada 5 Julai lalu itu yang kini tular, kejadian dikatakan berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Puncak Alam dan didakwa dibawah jagaan seorang wakil rakyat.

“Anak baru 10 bulan, staf dua orang, tiga termasuk pengurus. Tapi pengurus jarang ada, dan budak ada dekat 20 orang jarang berlaku. Tapi dekat sini berlaku.. Bila tanya masa nak bawa masuk kemain cakap satu cikgu tiga orang jer baby.

“Lepas tu bila berlaku kecederaan pada budak. Nak tengok kamera litar tertutup (CCTV) alasan CCTV tidak bayar dah dua bulan Internet. Dahlah waktu kecederaan tak beritahu. Boleh tahu pun waktu balik. Kalau ambil lambat anak hari tu tentu tahan sakit lagi lama..Tidak bertanggungjawab langsung…lapan kesan gigitan,” luahnya.

Menurutnya, di pipi kanan anaknya terdapat kesan seperti jatuh, dan pipi kiri pula ada kesan gigit, manakala telinga ada kesan luka namun tidak pasti sama ada kena gigit atau sebab lain, tetapi berdarah.

“Di belakang telinga bahagian kepala ada kesan gigit juga, tangan kanan empat kesan gigit, tangan kiri satu kesan gigit. Ni bukan jaga dengan baik. Ni biarkan seperti haiwan yang duduk dalam sangkar lepas jer nak jadi apa.

“Ini nyawa manusia. Jangan rasa taska bawah YB (Yang Berhormat) boleh buat apa saja,” katanya.

Setakat ini, hantaran itu dikongsi lebih 4,400 kali dan mendapat sebanyak 2,600 komen yang rata-rata mahu tindakan diambil terhadap pihak pusat jagaan berkenaan.

Turut dikongsikan di ruangan komen hantaran itu salinan laporan polis yang dibuat oleh ibu bayi berkenaan Nurul Jannah Adnan, 25, pada 28 Jun lalu.

Berdasarkan laporan polis itu, kejadian dikatakan berlaku pada 27 Jun lalu dimana beliau menghantar bayinya ke pusat jagaan berkenaan pada jam 7.30 pagi dan mengambilnya kembali pada jam 4.30 petang hari sama.

Guru berkenaan, memaklumkan laporan polis itu dibuat untuk rujukan pihak yang berkenaan termasuk untuk rawatan anaknya di hospital selain aduan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli turut membuat komen di hantaran yang tular itu dengan membuat permohonan maaf kepada pihak keluarga yang terbabit.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai kejadian ini. Pihak polis dan JKM sedang melakukan siasatan.

“Ibu bapa pelajar yang menggigit telah dinasihatkan untuk tidak hantar lagi anak mereka ke pusat jagaan. Dua staf berhenti secara mengejut pada hari kejadian. Itu punca berlaku isu tersebut,” tulisnya.

Menurutnya, secara peribadi beliau bersetuju dengan tindakan ibu bapa mangsa dan akan mengambil tindakan sama sekiranya berlaku pada anaknya sendiri.

“Harap beri ruang pada pihak berkuasa untuk selesaikan kes ini. Kita terima apa jua keputusan dari pihak berkuasa. Sekali lagi saya memohon maaf pada keluarga mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here