Kerajaan tidak stabil, PRU-15 perlu segera – Razlan Rafii

0
2

SENARIO politik negara dapat kembali stabil hanya menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang perlu diadakan segera, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii.

Menurutnya, perlu diakui kerajaan yang ada hari ini tidak stabil walaupun wujud memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

Beliau berkata, keadaan itu boleh membuka ruang kepada pembangkang untuk ‘mengugut’ kerajaan bagi memenuhi kehendak mereka dan “mendapatkan imbuhan tertentu”.

“Apa pun kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak stabil. Kerana kita terikat dengan perkara tidak produktif.

“Sebab itu Umno minta bentuk kerajaan baru. Insya-Allah kerajaan yang dibina nanti kerajaan yang stabil dan boleh melaksana polisi, dasar dalam manifesto tanpa gangguan. Sebab itu kita kena buat secepat mungkin pilihan raya,” katanya dipetik Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Razlan berkata, ketidakstabilan kerajaan akan membawa kerugian kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi.

“Dari sudut pelaburan, jika situasi kita tidak stabil sudah tentu hari ni mereka tak ambil risiko. Selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah banyak pembatalan projek-projek dilakukan.

“Malah hari ini pelabur lebih meyakini negara jiran kita seperti Myanmar, Vietnam, Kemboja mahupun Indonesia yang dilihat politik mereka lebih stabil,” katanya

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan yang ada ketika ini masih stabil dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara pemimpin parti di dalam kerajaan.

“Semua perdana menteri tak bincang soal tarikh PRU, jadi ini beri kesan kepada kestabilan politik, kalau kita bincang jadi akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal pilihan raya.

“Tetapi PRU tetap ada semakin hari semakin hampir dengan tarikh PRU-15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here