JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan membuka permohonan secara dalam talian yang menawarkan bantuan sebanyak RM500 kepada semua warga emas bagi tahun 2022 seperti yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, JKM memaklumkan bahawa informasi yang tular itu adalah palsu.
“JKM ingin memaklumkan bahawa informasi yang tular di laman sosial berhubung dengan ‘Permohonan Bantuan RM 500 sebulan untuk Semua Warga Emas Tahun 2022’ adalah palsu!
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai skim bantuan JKM di laman portal rasmi JKM sahaja,” menurut kenyataan itu.
JKM menasihatkan orang ramai laman portal rasmi JKM iaitu www.jkm.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai skim bantuan yang ditawarkan jabatan itu.
“Ingat! Tidak pasti jangan kongsi,” katanya. – Malaysiapost

