Polis buru penyamun dalam lif

0
3

POLIS kini sedang berusaha mengesan dan menangkap seorang suspek yang melakukan samun di dalam lif sebuah apartmen di Desa Aman Puri, Selangor pada Isnin lalu yang rakaman kejadian tular di media sosial.

Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif berkenaan, kejadian memaparkan dua remaja lelaki dan perempuan menaiki lif bersama seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka.

Video berdurasi 45 saat itu, menunjukkan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan mengacukannya ke leher remaja lelaki berkenaan sebelum melarikan telefon bimbit mangsa.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan polis dibuat remaja lelaki berkenaan yang berusia 17 tahun.

“Kejadian berlaku pada jam 12.40 tengah malam 4 Julai lalu di dalam lif di Apartment Desa Satu, Desa Aman Puri, Desa Jaya.

“Suspek yang bersenjatakan sebilah pisau telah melakukan rompakan ke atas mangsa dengan memaksa mangsa menyerahkan barang berharga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa mengalami kerugian sebuah telefon bimbit dan tiada sebarang kecederaan dialami.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan rompak yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan denda atau sebat.

“Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek masih diteruskan. Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Ishak Abu Bakar di talian 03-61262222 atau 011-39032329,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here