Peniaga ayam jual harga tinggi umpama ‘nak pergi Mekah balik hari’ – Jukee Ayam

0
2

“NAK untung (banyak) ibarat nak pergi Mekah balik hari,” kata peniaga ayam, Zukila Deraman.

Zulika berkata demikian sebagai tanda tidak bersetuju dengan tindakan penjual yang meletakkan harga tinggi untuk jualan ayam.

Dia yang terkenal kerana menawarkan harga ayam murah di Kelantan berkata, peniaga terbabit meletakkan harga tinggi kerana mahukan margin keuntungan yang besar.

Katanya, harga daripada pihak pemborong sebenarnya sudah wajar, lapor MalaysiaKini.

“Pemborong letak harga molek (murah) dah, tapi geng peniaga saja yang jual harga tinggi RM8.50 hingga RM9 sekilogram.

“Nak untung (banyak) ibarat nak pergi Mekah balik hari. Nak untung banyak, untung RM5 atas seekor ayam, itu yang jadi masalah,” katanya dalam satu perkongsian video di media sosial.

Justeru, Zukila berkata, orang ramai terkejut apabila dia dapat menawarkan ayam pada harga RM6.99 sekilogram.

Terdahulu, Zukila, 44, yang lebih dikenali sebagai Jukee Ayam menarik perhatian ramai kerana menawarkan harga jauh lebih murah berbanding harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.

Dia yang mempunyai tujuh cawangan kedai ayam proses berkata, harga jualannya itu sudah memberi keuntungan memandangkan harga ayam ladang daripada pembekal ialah antara RM5.50 hingga RM6.30 sekilogram.

Katanya, peniaga tidak sepatutnya menjual ayam dengan harga yang mahal semata-mata mahu mengaut keuntungan besar tetapi akhirnya pembekal juga akan menaikan harga jualan mereka.

“Kebanyakan peniaga dapat bekalan daripada pembekal sama dengan harga yang sama sahaja, jadi bergantung kepada peniaga sekiranya mereka mahu keuntungan lebih, mereka akan menjual dengan harga mahal.

“Tetapi perlu ingat, apabila kita menjual dengan harga yang mahal bukan sahaja ia membebankan pengguna, sebaliknya pembekal juga akan mengambil kesempatan menaikkan harga dengan alasan peniaga mendapat keuntungan tinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here