Amanah turun ke jalanan jika kerajaan gagal kawal harga barang

0
2

PARTI Amanah bertekad turun ke jalanan bersama rakyat sekiranya kerajaan gagal menangani masalah kenaikan harga barang keperluan, terutama minyak masak bersubsidi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata jika Perdana Menteri bersama Kabinetnya gagal berfungsi mengatasi masalah tersebut, parti itu akan menggunakan bahasa rakyat sebagai tindak balas.

Tegasnya, bahasa rakyat yang dimaksudkan ialah mengadakan himpunan secara aman di jalan raya.

“Perkara ini mesti diambil perhatian oleh Perdana Menteri, mesti pastikan Kabinetnya benar-benar berfungsi dan menteri yang berkenaan mesti bertanggungjawab.

“Jika keadaan rakyat masih tertekan dengan kenaikan hampir semua jenis barang keperluan, kita berjanji untuk turun ke jalan raya secara aman.

“Saya yakin kalau bahasa (amaran) ini tidak dipedulikan oleh kerajaan, maka bahasa rakyat sahaja mungkin boleh mengajar mereka,” katanya menurut laporan Malaysia Gazette.

Beliau ditemui media selepas tinjauan mengejut ke beberapa pasar raya borong sekitar Klang, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, kerajaan tidak boleh memandang remeh dengan himpunan yang bakal diadakan, kerana bahasa rakyat pernah berlaku sebelum ini.

Salahuddin turut mengimbas keupayaan pembangkang sebelum ini yang mengadakan lima siri himpunan Bersih dengan mengumpul kira-kira setengah juta rakyat di jalan raya secara aman.

Menurutnya, kerajaan terpaksa menghapuskan Akta ISA juga disebabkan tekanan daripada bahasa rakyat, begitu juga isu 1MDB, rakyat mengajarnya melalui himpunan aman di jalan raya.

“Jadi, inilah yang kita minta, iaitu janji Perdana Menteri untuk menangani masalah ketiadaan minyak masak paket di pasar, kedai runcit dan pasar raya borong.

“Minyak masak botol sebelum ditarik subsidi dijual pada harga RM18 sebotol, tetapi selepas subsidi ditarik balik, harganya melambung lebih dua kali ganda iaitu RM40 sebotol.

“Bagi minyak masak paket, dalam terjahan kita pagi ini tidak ada, tetapi Perdana Menteri memberi jaminan bekalan mencukupi untuk keperluan dan kegunaan golongan B40,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here