Penyeludup buang syabu bernilai RM1.76 juta

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau mematahkan sindiket pengedaran dadah dengan merampas lebih 32 kilogram syabu bernilai RM1.76 juta di perairan Inderasabah, semalam.

Maritim Malaysia dalam kenyataan berkata, ketika rondaan OP Sejahtera, bot ronda mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan sekitar 0.2 batu nautika selatan Indrasabah pada jam 11.30 malam.

“Semasa dihampiri, bot terbabit memecut laju untuk cuba melarikan diri menuju ke arah muara Sungai Inderasabah.

“Juragan bot kemudian membuang sesuatu keluar dari bot. Usaha bagi menghentikan bot dan suspek gagal apabila tekong bot memecut laju ke arah kawasan paya bakau dan perairan cetek bagi meloloskan diri,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Maritim Malaysia berkata, pencarian di kawasan sekitar menemui beg berisi 32 paket bungkusan dengan label teh Cina ‘Guan Ying Wang’ mengandungi hablur kristal disyaki methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat satu kilogram setiap paket dengan jumlah keseluruhan lebih 32 kilogram.

“Kesemua hasil rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM 1.76 juta dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here