Aidiladha: Siap sedia tempuh perjalanan lebih panjang ke pantai timur

0
3

LEBUH RAYA Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd menyarankan semua pengguna lebuh raya yang merancang menyambut Aidiladha di pantai timur agar bersiap sedia untuk menempuh perjalanan lebih panjang.

Ini kerana pihaknya menjangka berlaku kesesakan susulan lebih 55,000 kenderaan akan menggunakan LPT2 setiap hari puncak antara 8 hingga 12 Julai berbanding 18,000 pada hari biasa.

Pengarah LPT2 Sdn Bhd, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi sehubungan itu berkata, kekerapan rondaan oleh LPT2Ronda akan ditambah bagi memberi bantuan kepada kenderaan dan pengguna yang memerlukan.

“Sepanjang tempoh perayaan ini juga, kira-kira 50 anggota LPT2Ronda ditugaskan bagi meningkatkan rondaan, terutama di lokasi kritikal sepanjang 184 kilometer antara Jabor dan Kuala Terengganu,” katanya menerusi kenyataan.

Zakarian menambah, sekiranya pengguna memerlukan bantuan di LPT2, boleh hubungi talian hotline LPT2 di 1800-88-0220.

Katanya lagi, maklumat trafik terkini juga disediakan melalui perkhidmatan Twitter LPT2trafik, papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya dan pengumuman trafik semasa melalui stesen radio utama.

“Justeru, pengguna Lebuhraya LPT2 disaran merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan Waze atau Google Map sepanjang perjalanan.

“LPT2 juga mengingatkan pengguna lebuh raya memastikan kad Touch ‘n Go aktif dan mempunyai baki mencukupi untuk melancarkan transaksi tol sebelum memulakan perjalanan.

“Kiosk tambah nilai kad Touch ‘n Go juga disediakan di semua plaza tol dan kawasan rehat di LPT2 untuk membolehkan pengguna menambah nilai kad,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here