MERUNTUN hati apabila mayat seorang wanita hamil empat bulan dan ibu mentuanya yang dihanyutkan kepala air di Kampung Iboi, Baling semalam, ditemui dalam keadaan berpelukan pagi ini.
Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan Salmah Mat Akib, 53, ditemui jam 9.30 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat ditemui selepas anggota ternampak kaki salah seorang mangsa di bawah timbunan batang pokok.
“Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan serta tiada kesan kecederaan luaran.
“Kita mengeluarkan mayat pertama iaitu Nurul Anis diikuti ibu mentuanya,” katanya di lokasi kejadian, lapor Kosmo!
Sayani menjelaskan, seorang lagi mangsa iaitu Khairul Ikwan Nor Azam, 14, masih belum ditemui.
“Mangsa adalah daripada keluarga sama iaitu anak kepada Salmah dan operasi pencarian mangsa giat dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Sayani memaklumkan, pasukan penyelamat telah menyelamatkan 155 mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat dengan 270 lagi penduduk diselamatkan orang awam,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Kosmo

