Ini masa sesuai isi jawatan TPM – Bersatu

0
2

KEPIMPINAN Bersatu tetap berpendirian kekosongan jawatan Menteri Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri (TPM) perlu diisi mengikut ‘perjanjian’ antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN).

Pendirian itu disuarakan Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor yang menyarankan Perdana Menteri agar sentiasa berpegang kepada perjanjian yang sudah termetri itu serta menghormati hak bersama.

Menurutnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Kabinet berkenaan.

“Sukacita dijelaskan di sini antara keperluan bagi mengisi kekosongan yang pernah dipersetujui sebelum ini atas nama ‘perjanjian’ dan ini adalah jangka masa yang sesuai bagi melengkapi ‘Kabinet Malaysia’ dengan penggabungan dari kalangan anggota kabinet yang baru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ada yang mengatakan bukan masa sesuai untuk melantik TPM dalam keadaan sekarang ini.

“Saya tidak berpandangan begitu. Jawatan TPM adalah penting atas faktor tertentu antaranya jadual padat Perdana Menteri (PM) di luar negara

“Apabila PM ke luar negara, TPM akan memangku tugas sebagai ketua kerajaan termasuk menghadiri majlis atau mempengerusikan mesyuarat kabinet.

“Apabila ketiadaan TPM, jadual PM menjadi padat oleh kerana beliau terpaksa meneliti semua perkara dan ini akan memakan lebih masa untuk kerajaan memutuskan sesuatu dasar. Hasilnya kerajaan tidak dapat berfungsi dengan cekap,” katanya.

Menurutnya, lantikan TPM dari parti yang lain turut memberi gambaran bahawa kerajaan yang dibentuk stabil dan boleh meyakinkan pelabur luar.

“Ia juga menunjukkan kestabilan politik dan akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Pelabur melihat bahawa Malaysia dapat mempraktikkan ‘perkongsian kuasa’ dengan aman dan makmur.

“Faktor politik amat penting buat pelabur. Mereka mahukan ‘certainty’,” katanya.

Katanya, TPM juga calon paling sesuai mewakili PM untuk menghadiri jemputan dari luar negara sekiranya pemimpin negara itu tidak dapat hadir ke sesuatu jemputan penting dan kebanyakan negara boleh menerima TPM sebagai pengganti.

“Oleh itu, saya mencadangkan kepada PM agar segera melantik TPM bagi melancarkan dan mengukuhkan lagi urusan pentadbiran negara sebagaimana yang disarankan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu,” katanya.

Muhyiddin dalam satu sidang media baru-baru ini, mengesahkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk jawatan TPM.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu turut dibangkitkan beberapa perkara penting, berlandaskan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here