PDRM bersedia operasi audit, pemutihan semula minyak masak paket

0
2
Minyak-minyak masak yang dijual dalam bentuk botol dan paket ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

DALAM usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi khususnya minyak masak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memberi kerjasama dan bantuan berterusan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui operasi bersepadu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata satu perjumpaan membabitkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), PDRM dengan Ketua Setiausaha KPDNHEP telah diadakan semalam bagi membincangkan mengenai Operasi Pengauditan dan Pemutihan Minyak Masak Paket.

Menurutnya, melalui operasi bersepadu itu tangkapan dan rampasan yang dilaksanakan kelak akan diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini, PDRM melalui JKDNKA telah melaksanakan Op Kontraban dalam usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, barangan bersubsidi yang diseleweng bernilai RM38.24 juta berjaya dirampas oleh JKDNKA. Daripada jumlah itu, rampasan membabitkan minyak masak adalah bernilai RM854,252,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usaha bersepadu dengan pihak KPDNHEP adalah langkah positif bagi PDRM menyumbang secara lebih aktif dalam membendung ketirisan subsidi.

“PDRM menyambut baik kerjasama operasi bersepadu yang dijalin dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, memaklumkan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif akan dilaksanakan meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket di seluruh negara.

Menurutnya, ia bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak paket dikeluarkan syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu.

Sehubungan itu tegasnya, kerajaan mengerah pihak KPDNHEP, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here