Pemilihan PKR: Dr Zaliha berkompromi melindungi proses yang tidak telus – Farhash

0
2

PENGERUSI Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa didakwa berkompromi untuk melindungi proses pemilihan parti itu yang tidak telus.

Dakwaan itu disuarakan calon Naib Presiden PKR yang tewas baru-baru ini, Farhash Wafa Salvador yang tidak yakin dengan hasil audit forensik JPP partinya.

“Sejak dari mula, proses-proses pemilihan parti, lebih-lebih lagi proses pengiraan undi yang dilakukan secara rahsia, sangat diragui kerana sangat terbuka kepada manipulasi tetapi jawapan yang diberikan pihak JPP langsung tidak meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhash yang juga bekas pembantu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Dr Zaliha mengenai “audit mendapati ada cubaan menggodam sistem tetapi tidak berjaya.”

Menurutnya, ia dilihat sebagai satu helah untuk mengalihkan pandangan daripada kegagalan mengangkat ketelusan.

“Malah Dr Zaliha sendiri kini dilihat berkompromi untuk melindungi proses-proses yang tidak telus ini, maka tidak perlulah beliau berbicara soal integriti kerana ia tidak wujud dalam konteks pemilihan parti ini dan permohonan untuk ketelusan pun ditolak mentah-mentah.

“Terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab dan sebelum kita berhadapan dengan rakyat dalam siri kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), mungkin ada baiknya presiden parti Anwar Ibrahim meyakinkan anggota-anggota bahawa (PKR) ini masih sebuah parti yang menegakkan ketelusan, keadilan dan integriti,” katanya.

Terdahulu, JPP PKR memuktamadkan keputusan akhir Pemilihan 2022 selepas menjalankan audit forensik terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti itu.

Dr Zaliha memaklumkan keputusan akhir parti itu akan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Agung untuk tindakan selanjutnya bagi persediaan Kongres Nasional 2022 yang akan berlangsung pada 15, 16 dan 17 Julai ini.

JPP PKR dalam satu kenyataan juga menafikan berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan PKR.

Sebaliknya, jawatankuasa itu mengesahkan terdapat cubaan menggodam dalam prosesnya untuk menjejaskan integriti keputusan pemilihan parti.

“JPP merasa kesal atas perbuatan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjejaskan ataupun merosakkan integriti Pemilihan PKR 2022,” katanya.

Selain jawatan Naib Presiden, Farhash turut mencabar Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan Pengerusi PKR Selangor dan Menteri Besar untuk jawatan ketua bahagian Gombak, namun beliau tewas juga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here