Perhimpunan barang naik hanya retorik pembangkang

0
2

KENAIKAN harga barang tidak sepatutnya dijadikan modal politik bagi menyerang kerajaan.

Ketua Dewan Muda Dewan Perdagangan Melayu Malaysia, Hisham Abdul Hamid berkata, perhimpunan barang naik yang bakal dianjurkan pembangkang hanyalah retorik bagi meraih simpati rakyat.

Malah katanya, isu kenaikan harga barang bukan sahaja berlaku di Malaysia, sebaliknya ianya menjadi isu global di mana dunia ketika ini berdepan krisis sama.

“Perang antara Ukraine dan Rusia menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan asas.

“Kesukaran mendapatkan bekalan akibat krisis yang melanda telah mendorong kepada kenaikan harga barangan dalam negara ketika ini kerana kita terlalu bergantung dengan negara luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Dewan Muda Dewan Perdagangan Melayu Malaysia, Hisham Abdul Hamid.

Hisham berkata, penganjur perhimpunan perlu memahami punca berlaku kenaikan harga barang dan tidak memanipulasinya menjadi modal politik dengan mengheret rakyat turun ke jalanan membenci kerajaan.

“Malah, kita telah mengeluarkan perbelanjaan import bahan makanan mencecah hampir RM56 bilion pada tahun lepas.

“Oleh itu, apabila kita mengalami masalah pengeluaran global secara mudahnya berlaku kenaikan harga barang di negara kita.

“Secara kesimpulannya, pihak yang menjadikan isu kenaikan harga sebagai alat politik perlu terlebih dulu memahami ekonomi dan persekitarannya dengan peka terhadap krisis yang tercetus,” katanya.

Media melaporkan, wakil rakyat pembangkang merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 16 Julai ini sekiranya kerajaan gagal menunaikan tiga tuntutan utama berkaitan krisis makanan yang dihadapi rakyat.

Satu perhimpunan telah dianjurkan parti Amanah Jumaat lalu untuk mendesak kerajaan menunaikan tiga tuntutan yang antaranya menuntut supaya kerajaan mengembalikan subsidi yang telah dipotong sehingga menyebabkan rakyat sengsara.

Antara pemimpin pembangkang hadir dalam perhimpunan yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Hatta Ramli. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here