SEPANJANG tempoh Januari hingga Jun 2022, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas 10,464.20 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM262 juta.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata selain dadah pelbagai jenis, turut dirampas dalam tempoh sama adalah 2,394.91 liter cecair dadah, daun ketum sebanyak 69,132.69kg dan air ketum sebanyak 44,809.30 liter.
Menurutnya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 15,397.61kg pelbagai jenis dadah, cecair dadah (5,342.63 liter), daun ketum (148,407.57kg) dan air ketum (54,267.57 liter) yang dianggarkan bernilai lebih RM683 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, sebanyak 69,648 kes dengan 81,706 orang ditangkap dibawah pelbagai Seksyen kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Sebanyak enam makmal Haram memproses dadah turut dibongkar dengan tangkapan seramai 18 orang bagi tempoh sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 pula, pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM79.2 juta disita sepanjang tempoh berkenaan dan aset bernilai RM9.063 juta telah berjaya dilucuthak.
Menurutnya, seramai 997 individu telah ditangkap mengikut ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 untuk tempoh sama.
“PDRM khususnya JSJN terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku disekeliling mereka,” katanya. – Malaysiapost

