Jihad terhadap inflasi, bukan pekerja asing – AMK

0
2
Parti Keadilan Rakyat

KENYATAAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cuba ‘memangsakan’ pekerja-pekerja asing bagi menjustifikasikan keputusan Kerajaan mengurangkan subsidi adalah amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan perlu berhenti menggunakan taktik ‘mempermusuhkan’ rakyat Malaysia dengan pekerja asing bagi menyorokkan kegagalan dalam menangani masalah inflasi harga barang.

“Ekonomi Malaysia amat bergantung kepada pekerja-pekerja asing, khususnya dalam beberapa sektor yang penting seperti perladangan, pembuatan dan pembinaan.

“Pada 4 Disember 2021, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia menyatakan bahawa sektor pembuatan, yang menyumbang kepada 23 peratus kepada ekonomi Malaysia, memerlukan kira-kira 600,000 tenaga kerja bagi memastikan hasil perniagaan mereka mencapai paras yang sama seperti sebelum pandemik.

“Masalah kekurangan pekerja asing yang telah menjejaskan ekonomi negara turut diakui oleh Menteri Sumber Manusia yang selanjutnya memberi jaminan bahawa Kerajaan akan menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing dengan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat bersama oleh calon-calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK iaitu Lau Yi Leong, Mohd Fakharuddin Muslim dan Suria Vengadesh.

Menurut mereka, ironinya, pernyataan Perdana Menteri itu dibuat pada hari yang sama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan memberi komitmen untuk menambah lagi bilangan pekerja asing.

“Maka persoalannya, apakah sebenarnya Kerajaan mahu?

“Kewujudan pekerja-pekerja asing dalam struktur ekonomi Malaysia bukan bersifat parasit. Walaupun kebanyakan mereka tidak membayar cukai pendapatan, mereka tetap membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Mereka seharusnya diberi layanan yang saksama sekurang-kurangnya dari segi kos sara hidup harian supaya mereka juga dapat mengekalkan kualiti kehidupan yang bermaruah, sementara mereka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, rakyat sudah mual dengan politik yang mengeksploitasi kebencian.

“Jangan menghina kebijaksanaan rakyat, kerana rakyat yang bijak akan lebih rela membenarkan golongan pekerja asing yang bersama-sama kita membangunkan ekonomi negara menikmati subsidi secara saksama.

“Daripada membenarkan wang yang dijimatkan melalui pengurang subsidi itu digunakan untuk menampung gaji, elaun dan kos saraan Menteri-menteri yang gagal berfungsi dengan berkesan,” katanya.

Ismail Sabri ketika berucap pada program kenduri rakyat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kampung Gajah, Pasir Salak semalam, berkata pengurangan subsidi harga ayam dilaksanakan bagi membolehkan ia disalurkan secara terus kepada rakyat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Menurutnya, subsidi harga ayam diberikan kerajaan bukan saja dinikmati rakyat negara, malah juga warga asing yang bekerja di negara ini.

Beliau berkata dengan pengurangan subsidi itu, kerajaan boleh menggunakannya bagi menambah jumlah BKM kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here