Muhyiddin patut melapor kepada PM, bukan minta jawatan – Shahril Hamdan

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu didesak oleh sesiapa mengenai lantikan Menteri Kabinet terutamanya pemimpin dari parti lain, tegas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat mengambil kesempatan dengan membincangkan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika bertemu Perdana Menteri.

Beliau berkata, sepatutnya Muhyiddin bila berjumpa dengan Perdana Menteri melaporkan kepada Ketua Kerajaan berkenaan dapatan atau cadangan Majlis untuk menangani isu pemulihan.

“Tapi nampaknya Muhyiddin ambil kesempatan untuk membincangkan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Sudahlah begitu, hebahkan pula kepada umum untuk cuba beri tekanan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahril berkata, Perdana Menteri yang akan menentukan pelantikan Kabinet, tidak perlu didesak dan isu lantikan Kabinet bukan keutamaan saat ini.

“Adakah kalau ada Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu akan selesai isu rakyat?

“Barisan Nasional (BN) baik dari dalam atau luar Kerajaan akan terus memfokuskan usaha dan beri cadangan menangani isu rakyat.

“Pengerusi Perikatan Nasional (PN) barangkali lebih sibuk isu jawatan Kabinet dan memuktamadkan isu logo yang tak habis-habis dibincangkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here