MINYAK masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi yang diagihkan kerajaan setiap bulan sepatutnya mencukupi, memandangkannya ia hanya dihadkan kepada pengguna domestik.
Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak, berkata bagaimanapun bahan keperluan itu banyak disalahgunakan oleh restoran dan kilang atau diseludup ke negara jiran.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata setiap bulan kerajaan akan mengagihkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak berkenaan kepada pengilang sebelum ia diagihkan kepada syarikat pembekal dan pembungkus.
“60,000 tan bersamaan 60 juta minyak masak paket 1kg bersubsidi berharga RM2.50 setiap paket – iaitu harga paling murah dalam dunia. Ataupun 2kg sebulan bagi setiap 30 juta rakyat Malaysia.
“Harga sebenar adalah RM9, harga bersubsidi RM2.50. Keuntungan sekiranya seludup 100kg seorang sehari? ‘Masuk’ RM250, ‘cuci’ RM900. Kerajaan yang tanggung beza RM650,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, oleh sebab perbezaan harga subsidi dengan harga pasaran sudah menjadi sangat besar, aktiviti penyalahgunaan minyak masak bersubsidi hanya akan meningkat.
“Ketika ini negara dan dunia mengalami ‘food insecurity’. Cabaran keselamatan makanan.
“Jadi, menyalahgunakan minyak masak bersubsidi sehingga ramai tidak berpeluang membeli juga mengancam keselamatan makanan negara.
“Boleh dikategorikan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Keganasan (POTA),” katanya.
Najib menegaskan, kini sudah tiba masa untuk menggunakan undang-undang yang lebih keras terhadap kesalahan terbabit. – Malaysiapost

