KEGAGALAN kerajaan mengawal kenaikan harga barang serta mengurus ekonomi berpunca daripada penubuhan pentadbiran negara secara tidak demokratik, kata Mohamad Sabu.
Presiden Amanah itu, berkata suara rakyat yang tertekan dengan pemasalahan itu didengari oleh Pakatan Harapan (PH).
Justeru, beliau berkata, PH akan bangkit bagi melindungi hak rakyat.
“Kita dengar suara rakyat yang semakin tertekan dengan kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barang, gagal mengurus ekonomi lantaran ditubuhkan secara tidak demokratik.
“Kita akan bangkit bersama rakyat, melindungi hak rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau demikian dalam Sidang Nadi Rakyat bersama pemimpin utama dan pendukung Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di Petaling Jaya.
Terdahulu, media melaporkan, kenaikan mendadak harga barangan asas terutama makanan seperti ayam, ikan, minyak masak dan sebagainya memberikan kesan yang begitu besar buat rakyat.
Bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi juga mereka yang memulakan pekerjaan baharu atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik.
Situasi ini memberi tekanan besar kepada rakyat yang perlu bergelut untuk meneruskan kehidupan masing-masing terutama yang mempunyai tanggungan besar dalam keluarga. – Malaysiapost

