AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan meneliti isu melibatkan 27 individu termasuk bekas Presiden dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) yang didakwa ada kaitan dengan pinjaman RM400 juta pada 2012.
Beliau berkata, pinjaman tersebut diberikan kepada Aries Telecoms (M) Bhd selain kumpulan itu didakwa bersubahat serta menggunakan cara yang salah untuk menipu, menyembunyi dan menutup hasil penipuan dari BPMB.
“Duit yang sepatutnya digunakan untuk projek infrastruktur gentian fiber diseleweng dan dipindahkan ke entiti lain termasuklah entiti di luar negara.
“Pada awalnya, projek tersebut sepatutnya dikendalikan oleh syarikat Huawei Technologies Co Ltd, tetapi kemudian digantikan oleh syarikat Paneagle Holdings tanpa pengetahuan penuh, persetujuan dan/atau kelulusan BPMB.
“Yang buat saya betul-betul marah adalah pinjaman tersebut didakwa diluluskan kerana terdapat ‘pembayaran’ sejumlah RM8 Juta yang dilakukan kepada Pengarah Urusan BPMB,” katanya dalam hantaran Facebook.
Syed Saddiq berkata, isu melibatkan penyelewengan wang tidak boleh diambil mudah dan seharusnya jangan dibiarkan ‘pisang berbuah dua kali’.
Ia kerana, katanya, telah banyak skandal kewangan yang berlaku melibatkan institusi kewangan negara.
“Bukan sahaja ia melibatkan sejumlah dana yang besar, tapi ini juga melibatkan integriti dan ketelusan institusi-institusi kewangan negara kita.
“Wang yang sepatutnya kita boleh gunakan untuk membangunkan negara dan rakyat, diambil dan dirompak oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan berapa banyak skandal kewangan yang telah berlaku namun tidak diketahui atau dilaporkan.
“Malaysia memang betul mempunyai potensi besar untuk menjadi negara yang maju.
“Tetapi kalau korupsi dan kleptokrat dibenarkan berleluasa, sampai ke akhir zaman, Malaysia akan tenat,” katanya. – Malaysiapost

