BARISAN Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membolehkan sistem perundangan negara menjalani perubahan, kata Datuk Mohd Zaid Ibrahim.
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana itu, berkata BN boleh menamatkan pendakwaan terpilih dengan syarat menang besar pada PRU15 ini.
Beliau berkata, tugas sebagai pendakwa raya juga mesti dipisahkan daripada Peguam Negara bagi mengelakkan salah guna kuasa dan amalan balas dendam politik berterusan.
kedudukan pendakwa raya juga mesti dipisahkan daripada peguam negara bagi menjamin keadilan.
Katanya, ia bagi mengelakkan penyalah gunaankuasa pendakwaan yang boleh mengakibatkan pendakwaan terpilih dan dendam politik.
Zaid memberi contoh pendakwaan terpilih seperti yang sedang dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Jadi pada saya kes yang terpalit pada Zahid, ianya tidak adil pada yang didakwa dan pada masa yang sama ia bagi kepada A, tapi B, C, D, E dia tidak caj (dakwa). Ini adalah pendakwaan terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Hello Malaysia anjuran Umno Online, malam tadi.
Dalam kes 1MDB, Zaid berkata, pihak pendakwaan hanya berniat mendakwa Najib, sedangkan banyak pihak yang terlibat dalam skandal itu termasuk institusi kewangan di Amerika Syarikat.
“Adakah masuk akal, ibu pejabat penipuan itu di Malaysia yang kenanya seorang saja? Apakah penipuan sebesar itu yang digelar kleptokrasi yang terbesar di dunia, yang kita nak dia seorang saja? Kita tak nak tahu kebenaran.
“Ada juga yang tanya saya, kenapa saya bela Najib. Ini bukan bela Najib. Tapi takkan dia seorang boleh buat semua itu,” katanya.
Justeru, Zahid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pendakwaan terpilih yang turut menimbulkan kemarahan orang ramai tidak boleh dibiarkan kerana memberi kesan kepada negara.
“Trend ini akan terus berlaku. Kalau tak percaya tengok lepas pilihan raya. Sebab itu saya harap di hati kecil saya… Kalau BN boleh menang PRU15 dengan majoriti besar, benda yang saya katakan tadi, kita mesti lakukan perubahan pada sistem perundangan untuk beri keadilan,” katanya. – Malaysiapost

