Presma tak cadang naikkan harga makanan

0
2
Kelihatan restoran mamak di Desa Sri Hartamas tiada pelanggan yang makan disebabkan arahan bungkus makanan sahaja dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberi jaminan restoran di bawah naungannya akan mengekalkan harga kerana pelanggan mereka terdiri pelbagai golongan termasuk B40.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata Presma tiada cadangan untuk menaikkan harga dan tetap bertahan dengan kadar yang dirasakan berpatutan di sebalik kenaikan harga bahan mentah.

“Kalau dapat jual dengan harga berpatutan, kami dapat jual lebih. Itu lebih bagus daripada jual dengan harga tinggi tapi (kuantiti) jualan kurang sedikit. Konsep kami banyak yang begitu,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Jawahar bagaimanapun berkata harga mungkin berubah di sesetengah kawasan di ibu negara yang terletak di lokasi elit kerana ia terdedah kepada potensi kenaikan kos sewa premis.

“Di kawasan elit sikit, macam di Hartamas, Bangsar, Taman Tun (TTDI), mungkin di sana kalau kita tengok harganya berlainan.

“Mungkin mereka ada alasan sendiri, mungkin sewa mahal,” katanya lagi.

Beliau juga berkata keputusan dan kuasa untuk memilih akhirnya tetap di tangan pelanggan dan mereka berhak memboikot mana-mana kedai yang menjual barangan mereka dengan terlalu mahal.

Kabinet sebelum ini memutuskan harga siling runcit ayam bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan naik 50 sen kepada RM9.40 sekilogram, berbanding RM8.90 sebelum ini.

Harga siling bagi telur untuk semua gred meningkat sebanyak 2 sen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here