
TAN Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak terlibat dalam gerakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan sumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Bekas Setiausaha Agung Umno itu, berkata beliau tidak pernah terlibat atau menandatangani sebarang dokumen termasuk SD bagi bertujuan berkenaan.
“Saya tak pernah tanda tangan apa-apa SD sokong Anwar Ibrahim, tak pernah. Apa yang disabitkan beberapa belas orang tandatangan itu, saya tak terlibat. Jadi, saya nak komen pun tak boleh.
“Cuma yang saya faham bukan sahaja (Datuk Seri) Tajuddin (Abdul Rahman) mengesahkan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga mengesahkan dan mereka orang yang terlibat dan lebih berwibawa daripada saya untuk menyatakan ya atau tidak SD itu,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Anwar yang juga Presiden PKR juga turut mengesahkannya termasuk beberapa lagi pemimpin parti berkenaan.
Mengenai dakwaan Tajuddin kononnya mempunyai bukti Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan pernah membuat gesaan supaya presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, Annuar juga menegaskan dirinya tidak terlibat.
“Sebab waktu itu saya adalah Setiausaha Agung Umno dan banyak mesyuarat yang diadakan pada penglihatannya tidak ada penjawat parti pun ketika itu.
“Sekali lagi saya tak dapat nak mengatakan atau nak komen sesuatu yang saya tak terlibat,” tegasnya.
Justeru, beliau meminta semua pihak dalam parti itu mengurangkan kegawatan politik bagi mengharmonikan keadaan.
Beliau berkata, sekiranya masing-masing serang-menyerang antara satu sama lain, kegawatan politik tidak akan reda sebaliknya memburukkan lagi situasi.
“Saya fikir sekarang ini elok kurangkan kegawatan politik dan beri peluang kepada pucuk pimpinan untuk mencari jalan bagaimana hendak mengharmonikan keadaan yang agak bercelaru ini.
“Saya rasa, mungkin ada baiknya kita tumpu kepada solidariti dan tumpu perkhidmatan kepada orang ramai serta rakyat,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya ada pihak tertentu yang mengambil tindakan untuk menguruskan hal itu secara dalaman
Katanya, tanggungjawab pemimpin ialah mengharmonikan keadaan dan tumpu kepada usaha untuk memperkasakan parti. – Malaysiapost
