SECARA tiba-tiba nama Mona Fendey muncul semula dan menjadi trending di Twitter semalam.
Tidak dapat dipastikan kenapa. Ada pengguna Twitter mengaitkannya dengan situasi semasa iaitu peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.
Peningkatan mendadak kes harian Covid-19 kini didakwa berpunca daripada ahli politik susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam suasana pandemik.
Justeru apa kaitannya dengan Mona Fendey? Jika diamati secara rawak ciapan di Twitter, anda mungkin dapat mengagak puncanya, dipercayai bermula dari sekadar guarauan kemudian meleret-leret hingga akhirnya trending.
Apa juga punca yang menjadikan ia trending, Malaysiapost menyingkap kisah Mona Fendey, wanita yang pernah mencipta sensasi di Malaysia kira-kira 27 tahun lalu.

Kes bunuh membabitkan pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin menggemparkan negara suatu ketika dulu dan dikenang sebagi antara kes bunuh paling kejam di negara ini.
Mereka membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Pahang, Allahyarham Datuk Mohd Mazlan Idris dan memotong badannya 18 kerat sebelum menanamnya dalam lubang sedalam 1.8 meter di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pamahdong, pada Julai 1993.

Mona Fendey dilahirkan pada 1 Januari 1956 di Kangar dan memulakan kerjaya awal sebagai penyanyi dan pernah menghasilkan album bertajuk, Diana pada 1987 dan terkenal menerusi lagu “Ku Nyanyikan Lagu Ini”.
Pelbagai cerita sensasi mengenai ‘kehebatan’ Mona Fendey dan suaminya ‘tular’ dalam kalangan masyarakat ketika pasangan itu berada dalam penjara.
Masyarakat pada masa itu seolah-olah mempercayai pasangan bomoh tersebut mempunyai ilmu hitam hebat walaupun sudah terkurung dan dikawal rapi.
Ada yang mendakwa Mona Fandey bebas keluar masuk penjara, berhibur dan kembali semula ke Penjara Kajang, begitu juga Affandi yang menjalani hukuman di Penjara Pudu sementara menunggu proses rayuan hukuman.
Apa pun ceritanya, tiada sesiapa dapat mengesahkan pelbadai dakwaan tersebut dan mungkin ia hanya mitos semata-mata.
Mona Fendey bersama suami dan Juraimi digantung sampai pada pada awal pagi pada 2 November 2001.

KRONOLOGI: Kes pembunuhan Datuk Mohamad Mazlan Idris
• Juraimi adalah tertuduh pertama kes itu, manakala Mona tertuduh ketiga dan Mohd Affandi tertuduh kedua. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Mazlan.
• Mereka didapati bersalah pada 9 Februari 1995 oleh Mahkamah Tinggi Temerloh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
• Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas Mazlan mandi bunga?
• Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280 dengan harga RM125,000 dan telefon bimbit RM10,500 secara tunai. Mereka juga membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40,000 selain peralatan elektrik dan perabot (RM20,000).
• Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih RM13,000 pada 15 Julai 1993.
• 13 Julai 1993: Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub.
• 18 Julai 1993: Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan, UMNO Bahagian Raub membuat laporan polis di Balai Polis Raub mengenai kehilangannya.
• 19 Julai 1993: Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan. Juraimi dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video, album gambar, keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan.
• 20 Julai 1993: Kira-kira jam 11.45 malam, Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
• 21 Julai 1993: Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub.
• 23 Julai 1993: Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub, Pahang. Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di bilik stor.
• 1 Ogos 1993: Rangka tiga beranak ditemui di dua tempat di Terengganu, dikatakan dikerat dan ditanam hampir sama dengan pembunuhan Mazlan.
• 10 Ogos 1993: Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi, Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita, Fatimah Mohamad, 32.
• 15 Ogos 1993: Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Klang.
• 17 Ogos 1993: Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang.
• 26 Oktober 1993: Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub.
• 18 Disember 1993: Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh.
• 3 September 1994: Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Mazlan.
• 12 September 1994: Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh. Juraimi, Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan.
• 9 Februari 1995: Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi, Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan.
• 10 Februari 1995: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi yang didapati bersalah membunuh Mazlan, dihantar ke Penjara Kajang.
• Antara 16 Februari 1995 hingga 20 Oktober 1997: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan.
• 24 Oktober 1997: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka.
• 2 November 2001: 5.59 pagi, Mona Fandey, Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang.
• Mona dan suaminya, Mohd Affandi telah disemadikan di Tanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. Juraimi dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Sumber: Berita Harian

