Gerakan mahasiswa mahu tangani harga barang, sedia turun ke jalanan

0
2
gerakan mahasiswa perhimpunan grafik

GERAKAN mahasiswa mendesak kerajaan melaksanakan lima perkara bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barang atau mereka mengambil tindakan drastik mengadakan demonstrasi di jalan raya.

Menerusi kenyataan hari ini, mereka menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri yang tidak masuk akal.

Menurut kenyataan itu, dengan jumlah Kabinet besar, adalah lebih baik jika para menteri menyahut tuntutan tersebut dan menunjukkan kebersamaan dengan rakyat.

“Kami menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberi kepada semua lapisan masyarakat. Bantuan sedia ada jelas tidak mencukupi dan tidak dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan,” katanya.

Kenyataan itu disokong kira-kira 20 gabungan mahasiswa, antaranya Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Gerakan itu juga menuntut kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada dan tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi lain.

Ini kerana menurutnya, tekanan dahsyat bakal dirasai masyarakat jika ada lagi subsidi dihapuskan dan ini perlu dibendung.

“Antara cadangan kami adalah untuk meletak harga siling yang tepat untuk menyelesaikan isu ini seperti menetapkan harga siling bagi dedak agar harga ayam terus stabil.

“Kami juga menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan dan makanan kafeteria dan vendor di universiti kerana berlakunya peningkatan harga makanan mendadak,” katanya.

Gerakan itu juga menuntut pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah jaminan makanan (food security).

Menurutnya, ia adalah masalah paling asas dan perlu diselesaikan agar kenaikan harga barang secara drastik tidak berlaku.

“Kerajaan perlu memandang serius dan memberi solusi jangka masa pendek dan panjang kerana ia melibatkan kelangsungan hidup rakyat!,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here