252,000 biji pil kuda bernilai RM2.52 juta dirampas

0
2

SEBANYAK 252,000 biji pil kuda bernilai RM2.52 juta dirampas Polis Kelantan dalam dua serbuan berasingan di Kota Bharu dan Bachok, kelmarin.

Serbuan pertama membabitkan sebuah kereta di kawasan parkir sebuah kedai makan di Kampung Jelujok Banggu, Kota Bharu kira-kira jam 3 petang, membabitkan tangkapan tiga lelaki berusia 27 hingga 33 tahun ditahan dan rampasan 84,000 pil kuda.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak bertulis ‘J&T Express’ di atas kerusi penumpang belakang.

Datuk Muhamad Zaki Harun

Menurutnya, ketika serbuan terdapat dua suspek di dalam kereta jenis Honda Jazz, yang ketika itu sedang berurusan dengan seorang lelaki lain yang menunggang motosikal jenis Honda Icon.

“Pemeriksaan ke atas kotak tersebut dapati 14 bungkusan kertas berwarna kekuningan setiap satu bertulis Y1 dan di dalamnya terdapat 84,000 biji pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki dadah.

“Tangkapan ke atas tiga lelaki berkenaan dibuat serta rampasan dan sitaan dijalankan bersama kereta dan motosikal selain wang tunai berjumlah RM3,950,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas salah seorang tangkapan telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Takang, Tawang, Bachok.

“Pemeriksaan di bahagian dapur rumah menjumpai satu kotak di atas kabinet dapur yang mengandungi 28 bungkusan kertas berwarna kekuningan dan di dalamnya terdapat 168,000 biji pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki dadah.

“Sitaan juga telah dijalankan ke atas sebuah kereta Perodua Myvi,” katanya.

Menurutnya, jumlah rampasan dadah bagi kedua-dua kes adalah sebanyak 252,000 biji pil Yaba atau kuda dengan anggaran nilai rampasan dadah sebanyak RM2,520,000.

“Jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan seramai 126,000 orang penagih manakala jumlah anggaran nilai sitaan sebanyak RM29,450,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini reman selama tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here