Najamuddin Mohd Nor
SASARAN tujuh pingat emas negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 terpaksa disemak semula susulan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia dan S Sivasangari.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata sasaran ditetapkan sebelum ini realistik berdasarkan unjuran seperti diraih kontinjen negara pada edisi Gold Coast 2018.

Jelasnya, perkembangan terkini susulan penarikan diri Zii Jia dan ratu skuasy negara yang kemalangan, sasaran tujuh pingat emas itu perlu realistik dan disemak semula.
“Dengan perkembangan baharu ini, kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk bincangkan semula dari segi sasaran.
“Kita perlu berpijak di bumi nyata dengan kehilangan prospek medal kerana tujuh emas yang kita tetapkan itu berpandukan unjuran seperti diraih kontinjen negara pada edisi di Gold Coast 2018.
“Sebenarnya kita menaruh harapan kepada semua yang melayakkan diri ke Sukan Komanwel untuk menyumbang pingat, cuma kita lihat dari segi ranking sebab itulah kita buat unjuran berapa yang kita boleh dapat,” katanya.
Beliau berkata kepada media ketika meninjau persiapan atlet para angkat berat di Stadium Kecemerlangan Sukan, Cheras, hari ini.
Pada temasya di Gold Coast 2018, Malaysia meraih tujuh emas menerusi sukan angkat berat, terjun, boling padang, gimnastik dan badminton.
Lima perak turut diraih masing-masing menerusi sukan badminton, gimnastik dan angkat berat.

Beliau berkata, mesyuarat Lembaga Pengarah MOM yang dijadualkan pada 15 Julai mungkin dipercepat, khusus bagi membincangkan perkembangan terkini atlet negara.
“Kita sudah tetapkan mesyuarat pada 15 Julai iaitu kira-kira seminggu sebelum kontinjen bertolak, tetapi dengan perkembangan terkini, ia akan dibuat lebih awal,” katanya. – Malaysiapost

