SEORANG lelaki terkejut besar apabila menemukan seekor ular sawa melingkar dalam mangkuk tandas di rumahnya di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal di Alor Gajah.
Ular sepanjang 2.1 meter itu dan berat lima kilogram itu kemudian ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lapor Berita Harian.
Menceritakan kejadian itu, Dayana Sazali, 28, berkata suaminya, Ahmad Khaidir Ahmad Abdullah, 29, mahu menggunakan tandas di bahagian dapur pada jam 6.50 petang semalam sebelum terkejut dengan kehadiran ular sawa tersebut.
Susulan kejadian itu, katanya mereka kini trauma kerana ia kali kedua ular ditemui dalam tandas rumah mereka.
“Suami saya terus menutup mangkuk tandas itu sebelum menelefon talian kecemasan APM untuk meminta bantuan.
“Sementara menunggu pasukan APM tiba, kami berdua memantau pergerakan ular itu jika ia keluar atau masuk semula ke dalam saliran tandas,” katanya.
Dayana berkata, dalam kejadian pertama pada Ramadan tahun lalu, ular berkenaan bagaimanapun gagal ditangkap apabila melarikan diri ke dalam saliran ketika cuba ditangkap pasukan APM.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata empat anggota ke lokasi dan berjaya menangkap ular itu dalam masa 15 minit.
“Kita percaya ular sawa itu datang dari parit di belakang kediaman itu dan tersesat masuk ke dalam saliran air,” katanya. – Malaysiapost

