AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan beliau tiada masalah untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) akan datang.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata beliau mempunyai rekod yang baik di Pasir Salak iaitu tidak pernah kalah sepanjang penglibatannya dalam politik.
Malah katanya, beliau memiliki majoriti undi yang lebih tinggi berbanding Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad zahid Hamidi dalam PRU14 lalu ketika ‘Tsunami Politik’.
“Kalau dia orang (pemimpin Umno) main kasar, saya pun boleh main kasar, saya boleh bertanding bebas, umpamanyalah… saya tiada masalah, tapi menyokong Umno.
“Masa Tsunami (PRY14) undi saya naik, tak pernah kalah. Ini (orang) yang cakap besar undi pun sikit, Bagan Datuk (Ahmad Zahid) tu berapa majoriti, 5,000 saja? mana boleh lawan saya,” katanya.
Bekas Pengarah Pilihan Raya Umno itu berkata demikian dalam sidang media khas berhubung pemecatannya sebagai ahli MKT Umno di ibu negara hari ini.
Mengulas kenyataan PAS Perak yang sedia menawarkan kerusi Pasir Salak kepadanya bagi mewakili parti itu pada PRU15, Tajuddin berkata ia suatu idea yang baik.
“Boleh dipertimbangkan… not a bad idea, tapi tak adalah,” katanya secara berseloroh. – Malaysiapost

