SINDIKET penipuan belian barang secara atas talian berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang dengan penahanan 23 individu warga Taiwan dalam serbuan di sebuah premis di Batu Ferringhi, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dalam serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan 23 suspek terdiri daripada 17 lelaki dan enam wanita disyaki warganegara asing berusia antara 19 hingga 48 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek tiba di negara ini selepas tertarik dengan tawaran kerja yang diiklankan sebuah akhbar Taiwan yang menawarkan gaji lumayan sehingga RM7,000 sebulan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka memaklumkan hanya memperoleh gaji sekitar RM5,000 sebulan.
“Semasa serbuan dibuat, hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis, pihak polis berjaya merampas 46 telefon bimbit jenis iPhone, 14 komputer riba pelbagai jenama, enam walkie talkie, 12 kad prabayar, pendrive, portable wifi dan wifi route.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan disebat atau denda,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai baharu sahaja beroperasi bulan lalu dengan modus operandi mengiklankan pelbagai barangan berjenama terdiri daripada beg tangan, minyak wangi dan barangan mewah lain untuk dijual secara dalam talian kepada warga Taiwan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian secara atas talian dan tidak membuat sebarang transaksi pindahan / kemasukan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali,” katanya. – Malaysiapost

