Demi secebis konten, sanggup gunakan budak tadika joget ‘Marry Me’ di TikTok

0
2

PAKAR Motivasi, Mohd Fairuz Abu menyelar tindakan guru di sebuah Tadika yang didakwa menggunakan murid sekolah untuk membuat ‘content’ trend menari ‘Marry Me’ yang tular di aplikasi TikTok.

Beliau yang dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi, berkata sejak semalam banyak pihak yang meletakkan ‘tag’ berhubung video tular berkenaan kepadanya.

Jelasnya lagi, beliau terkejut apabila melihat video memaparkan murid lelaki menyarungkan cincin kepada seorang murid perempuan, sebelum kanak-kanak perempuan itu berjoget sambil menutup muka sepertimana trend yang tular di TikTok ketika ini.

“Sejak pagi tadi ramai yang ‘tag’ saya pada video ni. Bila saya tengok je terus rasa, Ya Allah, apa benda ni? Cikgunya tak ada kerja lain ke? Demi secebis konten, sanggup gunakan budak-budak untuk ikut trend video Tiktok?

“Ada ke disuruh budak lelaki sarungkan cincin pada jari budak perempuan. Elok disarung, terus budak tu joget-joget sambil tutup muka. Kau (guru) ingat benda ni kelakar ke? Nampak ‘sweet’ bila budak kecil yang buat? Musibah betul,” katanya dalam hantaran itu.

Mohd Fairuz berkata, perbuatan guru sekolah berkenaan adalah sangat tidak wajar, kerana kanak-kanak itu sepatutnya diterapkan dengan kefahaman mengenai sentuhan selamat.

“Elok-elok budak diajar pasal sentuhan selamat dan sentuhan tak selamat, kau pula ajar mereka bersentuh-sentuhan begini.

“Nak normalisasikan budaya ‘couple’ pada budak-budak sekecil ini ke? Nak bagi mereka seronok kejar benda viral? Generasi apa yang kau (guru) nak bangunkan ni?

“Saya tak pastilah apa reaksi ibu bapa kepada anak-anak ini saat menonton video berkenaan. Namun bagi saya perbuatan seperti ni tidak beretika dan melampau,” katanya.

Menurut Mohd Fairuz, beliau bimbang sekiranya fenomena ini tidak dibendung, akan muncul pelbagai jenis video seumpamanya.

“Individu yang merakam video mendakwa kedua murid berkenaan sepupu. Tapi persoalannya adalah kau (guru) ajar apa sebenarnya ni?

“Patutnya didik anak-anak ini membezakan apa yang baik apa yang buruk, membezakan dosa dan pahala serta jangan main ikut je ‘trend’ yang tah apa-apa,” katanya.

Trend menari ‘Marry Me’ popular di TikTok memaparkan dua individu dengan seorang daripadanya akan disarungkan cincin sebelum menari sambil menekup muka dengan dua tapak tangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here