Hala tuju Umno tergelincir selepas bersama Bersatu- Veteran

0
2

Aiman Hanif

VETERAN Umno menyifatkan hala tuju parti itu tersasar apabila Bersatu mula menyertai Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata perkara itu diperakui sendiri oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Masa Umno dan PAS ok, bila masuk Bersatu ia tergelincir sedikit, masa Umno dengan PAS (hala tuju) sangat jelas.

” Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) kata Umno hilang hala tuju dan Zahid mengakui apabila ingin membincangkannya dalam biro politik Umno,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam Timbalan Presiden Umno itu berkata, sudah tiba masanya Presiden Umno memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya tentang bagaimana harus meneruskan kerjasama dengan pesaing politik.

Katanya, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara Umno diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Justeru beliau berkata, untuk menuju masa depan, Umno mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara kerana episod itu telah berakhir.

Sebagai respon terhadap kenyataan Mohamad, Zahid berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik Umno.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata penentuan hala tuju penting supaya ia jelas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, seperti contoh yang diberikan Mohamad dalam PRN Sabah di mana Umno jelas telah dibuli oleh Bersatu.

“Tok Mat mahu Umno tentukan hala tuju dalam PRU-15, sama ada kekal perkuat MN yang kekal bersama PAS atau MN atau yang ada Bersatu.

“Kita tengok contoh di Sabah, Umno sudah dibuli oleh Bersatu…ular lidi (Bersatu) telah buli ular sawa yang besar,” katanya lagi.- Malaysiapost