PENGERUSI Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menepis dakwaan bahawa Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) negeri Isham Jalil digugurkan atau ditamatkan perkhidmatan.
Noh berkata, dakwaan itu tidak benar kerana ia hanya melibatkan kesilapan “istilah” yang mana jawatan berkenaan sepatutnya adalah pengarah komunikasi BN negeri.
Sebaliknya, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang mengakui kesilapannya melantik Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan BN Selangor sedangkan jawatan itu tiada dalam perlembagaan BN.
“Beliau bukan digugurkan, silap dulu pelantikannya… salah lantik. Jawatan ketua penerangan BN negeri tiada dalam perlembagaan BN.
“Dalam perlembagaan Umno memang ada ketua penerangan. Silapnya sayalah, dulu kita pun tak perasan. Rupanya di peringkat BN pusat ada pengarah komunikasi,” katanya kepada media selepas melancarkan kerjasama Summerfield dan animasi Didi and Friends, di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 8 Jun, Isham memaklumkan bahawa perkhidmatannya sebagai ketua penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan surat yang ditandatangani oleh Setiausaha BN Selangor Datuk Satim Diman, jawatan yang disandangnya itu tidak termaktub dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Noh berkata, Isham juga tiada masalah mengenai perkara itu dan kini sudah pun dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Sebelum ia jadi isu, apa ni lantik tapi tak faham perlembagaan ke? Sebab itu bukan ditamatkan tetapi jawatan itu tidak ada, memang tidak ada lah.
“Isham pun kata tiada masalah dan kemudian dilantik jadi MKT,” katanya.
Pada 24 Jun, Isham mengangkat sumpah sebagai ahli MKT Umno yang dilantik di hadapan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli MKT lain pada mesyuarat tertinggi parti itu. -Malaysiapost

